Jurnal Minggu 1
TAJUK : SUKAR MENGENALI NAMA MURID
Masalah
Pada minggu pertama
saya melangkah ke sekolah bagi menjalani latihan praktikum, saya
menghadapi masalah untuk mengingati nama murid-murid. Saya mengajar
kelas pemulihan khas yang melibatkan 9 orang murid untuk Tahun 3
Inovatif dan 11 orang murid untuk Tahun 2 Dedikasi. Jumlah
keseluruhan mereka adalah 20 orang. Secara psikologinya, adalah
penting bagi seorang guru untuk untuk mengenali anak-anak muridnya
sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian,
saya mengambil pendekatan untuk mengenali mereka melalui panggilan
nama, namun menimbulkan masalah.
Analisis masalah
Faktor-faktor yang
menyebabkan masalah ini adalah kerana saya mudah lupa dan kurang
bergaul dengan mereka.
Cadangan
Bagi mengatasi
masalah yang saya hadapi, langkah pertama yang saya lakukan adalah
mengulang-ulang nama mereka setiap kali kelas berlangsung. Saya
menggunakan panggilan nama ringkas bagi memudahkan ingatan saya
lebih-lebih lagi ada dalam kalangan mereka yang memiliki nama yang
sama. Setiap kali saya mengemukakan soalan, saya akan cuba menyebut
nama murid yang terlintas dalam fikiran saya untuk menjawab soalan
tersebut biarpun pada awalnya saya tidak mengecam mereka. Setelah
murid berkenaan bangun, barulah saya mengecam muka mereka secara
beransur-ansur.
Selain itu, saya juga menghasilkan kad
nama bagi setiap murid. Saya menghasilkan kad nama pelbagai bentuk
bagi menarik perhatian murid-murid seperti bermotifkan flora dan
fauna. Setiap kali ke kelas, mereka akan diwajibkan memakai kad nama
masing-masing. Justeru, saya akan lebih mengenali mereka dengan
memanggil nama mereka seperti yang tertera di kad nama.
Di samping itu,
bagi mendekatkan mereka di hati saya, saya turut merakam gambar
mereka. Kemudian, saya mencetak gambar setiap murid dan menampalnya
di dalam buku rekod persediaan mengajar saya. Oleh yang demikian,
saya dapat merujuk gambar mereka jika sekiranya saya ragu-ragu dan
terlupa.
Tempoh Penyelesaian
21.6.2009 –
25.6.2009 iaitu selama 1 minggu
Tindakan Susulan
Guru menghasilkan kad nama
murid-murid. Guru juga merakam gambar murid-murid dan menampalnya di
dalam buku rekod persediaan mengajar.
Catatan
Melalui panggilan
nama murid secara berulang-ulang, saya berjaya mengingati nama
mereka. Ada kalanya, beberapa situasi melucukan berlaku yang mana
saya tersasul menyebut nama mereka. Namun begitu, peristiwa yang
melucukan itulah yang membuatkan ingatan saya lebih kuat untuk
mengingati nama mereka.
Pemakaian kad nama banyak membantu
saya mengenal dan mengingati nama murid-murid saya. Cara ini sungguh
efektif dan saya dapat mengingati nama mereka dalam masa seminggu
sahaja.
Gambar-gambar
mereka yang saya rakamkan juga membantu saya membuat sedikit
‘homework’
ketika
berada di rumah. Benarlah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Sekarang, saya sudah mengingati kesemua nama murid saya tanpa
sebarang masalah. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran yang
akan saya mulakan pada minggu kedua dan seterusnya akan lebih mudah
dan lancar.
Rujukan
1. Mok Song Sang
(2009). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Selangor.
2. Dr. Ragbir Kaur (2009). Panduan
Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.Kuala
Lumpur.
3. http://
drragbirnet.tk
4. Kementerian
Pelajaran Malaysia.(2009).Pemulihan Khas dietrima pada Julai 26,
2009 dari http://atps.emoe.gov.my/bppdp/kajianBPPDP/2001/2001(1)
Jurnal Minggu Ke-2
TAJUK : BISING
Masalah
Saya mengajar kelas
pemulihan Tahun 3 Inovatif untuk subjek Matematik di Sekolah
Kebangsaan Berapit, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. Masalah yang
saya hadapi adalah mereka sering membuat bising di dalam kelas.
Keadaan yang bising mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran
yang sedang berjalan. Kemungkinan juga akan mempengaruhi fokus murid
yang tidak membuat bising. Sekiranya ditegur untuk senyap, mereka
akan senyap. Namun setelah beberapa ketika, mereka akan mula membuat
bising.
Analisis masalah
Faktor-faktor yang
menyebabkan murid-murid tersebut bising telah dikenal pasti. Pertama
adalah pengaruh rakan-rakan yang mengajak mereka untuk berbual-bual
tentang sesuatu perkara. Kedua, mereka berasa bosan untuk membuat
kerja yang diberikan oleh guru. Ketiga, lapan daripada sembilan orang
dalam kalangan mereka adalah lelaki dan hanya seorang sahaja murid
perempuan.
Cadangan
Bagi mengelakkan
murid-murid tersebut daripada membuat bising, saya telah
memperkenalkan menu ganjaran. Menerusi menu ganjaran tersebut,
murid-murid akan menikmati hadiah-hadiah menarik sekiranya mendapat
pungutan “mata ganjaran” yang banyak untuk setiap tindak-tanduk
yang mereka lakukan. Hadiah utama dalam menu ganjaran tersebut adalah
lawatan ke Gua Tempurung, hadiah pertama adalah makan bersama guru di
kantin, hadiah kedua adalah kotak pensel, hadiah ketiga adalah set
alat tulis dan hadiah keempat adalah coklat. Bagi hadiah harian, guru
akan memberi ganjaran berbentuk alat tulis seperti pemadam pensel dan
sekali sekala akan membancuh air minuman seperti “MILO” atau
“Rebina” untuk murid-murid.
Di samping itu,
untuk memotivasikan murid-murid, saya telah menyediakan satu Carta
Menu Ganjaran yang memaparkan gambar setiap murid. Menerusi carta
tersebut, saya telah melekatkan pin yang membawa mata ganjaran untuk
setiap murid tersebut. Sekiranya murid tertentu didapati membuat
bising, mata ganjarannya akan ditolak. Sekiranya ada dalam kalangan
mereka yang mengganggu rakan ketika proses pengajaran dan
pembelajaran, mata ganjaran akan ditolak. Jika terdapat murid yang
berjalan-jalan di dalam kelas tanpa
arahan guru, mata ganjarannya akan ditolak. Setiap kali ketika sesi
penutup pengajaran dan pembelajaran, saya akan mengumumkan mata
ganjaran yang berjaya dikumpul oleh setiap murid. Murid yang dapat
mengumpul mata ganjaran paling tinggi akan dipanggil ke depan untuk
diberi peneguhan sosial berbentuk pujian di hadapan murid-murid lain
agar menjadi contoh yang baik kepada mereka. Selepas dua minggu, saya
akan mengira jumlah pungutan mata ganjaran untuk memberikan hadiah
seperti yang dinyatakan.
Tempoh penyelesaian
27.6.2009 hingga
2.7.2009 iaitu selama 1 minggu
Tindakan Susulan
Guru membuat Carta
Mata Ganjaran yang mengandungi nama-nama murid beserta gambar mereka.
Kemudian, guru melekatkan pin pelbagai warna untuk menarik perhatian
dan memotivasikan murid-murid.
Catatan
Melalui Menu
Ganjaran yang diperkenalkan, saya mendapati tahap kebisingan
murid-murid dapat dikurangkan. Malahan kelas pernah menjadi sunyi
sepi tanpa sebarang suara. Oleh yang demikian, proses pengajaran dan
pembelajaran menjadi lebih efektif. Menerusi kaedah ini, murid yang
rajin dan senyap akan sentiasa menjadi contoh yang baik kepada
murid-murid lain. Kesannya, murid-murid lain akan cuba bersikap
demikian agar diri mereka akan mendapat pujian dan menjadi contoh
untuk rakan-rakan yang lain pula.
Selain itu, nilai
kerjasama dan toleransi juga dapat disemai. Hal ini jelas ditunjukkan
apabila ada kalangan murid yang membantu rakan-rakan yang lemah
sekiranya mereka telah selesai menyiapkan sesuatu latihan yang
diberikan oleh guru. Walaupun secara langsung mereka akan mendapat
mata ganjaran kerana sahsiah yang baik, namun secara tidak langsung
nilai-nilai murni berjaya dipupuk antara mereka. Tambahan pula,
persaingan sihat juga wujud di dalam kelas misalnya murid-murid
berlumba-lumba untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru.
Namun begitu, hanya murid yang mengangkat tangan dengan tertib dan
dalam keadaan sopan sahaja akan dipilih oleh guru untuk menjawab
soalan.
Kesimpulannya, Menu Ganjaran dapat
membantu saya dalam mengatasi masalah murid bising di dalam kelas di
samping dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan mereka.
Rujukan
1. Mok Song Sang
(2009). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Selangor.
2. Dr. Ragbir Kaur (2009). Panduan
Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI. Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.Kuala
Lumpur.
3. http://
drragbirnet.tk
4. Kementerian
Pelajaran Malaysia.(2009).Pemulihan Khas dietrima pada Julai 26,
2009 dari http://atps.emoe.gov.my/bppdp/kajianBPPDP/2001/2001(1
No comments:
Post a Comment