Pengenalan Program Pemulihan Khas



1.0 PENGENALAN


Pendidikan peringkat rendah ialah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan falsafah pendidikan Negara. Penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dikuasai di peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Justeru, program Pemulihan Khas mengutamakan Prinsip ‘Menyelesaikan masalah seawal mungkin’ supaya tidak menjadi kronik berterusan hingga ke tahap 2 atau peringkat persekolahan menengah rendah.

Perbezaan minat, pengalaman, bakat dan gaya belajar individu murid mengakibatkan segolongan mereka lebih lambat atau ‘terkebelakang’ menguasai sesuatu kemahiran berbanding rakan sebayanya. Sekiranya mereka tidak diberi pengajaran pemulihan, mereka mungkin gagal memperoleh pendidikan yang perlu dan potensi mereka akan terbenam. Justeru melalui program pemulihan khas, keperluan–keperluan murid berpencapaian rendah dapat dikenal pasti dan dipenuhi.

1.1 Falsafah Pendidikan Kebangsaan


Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


1.2 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010





Rajah 1 : Teras Pelan Induk Pembangunan Pendidkan (PIPP) 2006-2010


Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010 dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertujuan untuk memantapkan sektor pendidikan Negara. Pelan ini akan menjadi garis panduan bagi pembangunan pendidikan negara secara menyeluruh sepanjang tempoh 5 tahun iaitu 2006 hingga 2010 dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9). Merupakan satu dokumen perancangan pembangunan pendidikan yang bersepadu, komprehensif dan menyeluruh. PIPP bukan sahaja akan membangunkan sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana, malah kualiti pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) turut ditingkatkan bersama. Perancangan pembangunan ini meliputi tiga aspek utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia. Matlamat utama dalam menghasilkan pendidikan berkualiti bagi semua dalam PIPP ini adalah berdasarkan dua pendekatan utama.

   

   Pendekatan pertama : 

  • Memastikan akses kepada pendidikan dan menyamaratakan medan persaingan dalam kalangan murid. Antara strategi yang digariskan termasuk seperti yang berikut :

    1. Semua rakyat, tanpa mengira lokasi atau kaum (contoh : orang asli atau suku kaum) ataupun mereka yang kurang upaya turut diberi peluang pendidikan yang adil dan saksama;
    2. Semua murid akan diberi peluang untuk menguasai kemahiran 3M, iaitu kemahiran membaca, mengira dan menulis sama ada mereka berasal daripada keluarga miskin, tinggal di kawasan luar bandar atau pedalaman;
    3. Akses ICT, khususnya capaian internet ditingkatkan agar boleh dicapai oleh semua jenis sekolah dan lokasi.

    Pendekatan Kedua :

  • Mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan sehingga berjaya mengharumkan nama dan sistem pendidikan negara di mata dunia. Strategi-strategi berikut telah dirancang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) :
    1. Kenal pasti sekolah-sekolah dalam kluster Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Premier, Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah 100 tahun (Centennial), Sekolah Bestari dan sekolah-sekolah Putrajaya dan Cyberjaya;

    2. Memperkenalkan pelbagai program yang dapat membantu untuk meningkatkan lagi kelebihan, kekuatan dan daya saing sekolah-sekolah dalam kluster ini.
    Sepertimana yang kita sedia maklum PIPP mempunyai enam teras utama (Lihat Rajah 1), iaitu :
  1. Teras 1 - Membina Negara Bangsa
  2. Teras 2 - Membangunkan Modal Insan
  3. Teras 3 - Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
  4. Teras 4 - Merapatkan Jurang Pendidikan Bandar dan Luar Bandar
  5. Teras 5 - Memartabatkan Profesion Keguruan
  6. Teras 6 - Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan

Fokus utama dalam PIPP bagi Program Pemulihan Khas ialah dalam Teras 3 iaitu Memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Di dalam teras ini, ia memberi penekanan kepada memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK). Ini kerana sekolah kebangsaan mempunyai peranan yang penting sebagai tapak untuk menyemai dan memupuk perpaduan di antara kaum daripada peringkat awal persekolahan.

Dasar memperkasakan sekolah kebangsaan diwujudkan bagi memastikan semua sekolah rendah yang berbasaha pengantar Bahasa Melayu dan sekolah menengah kebangsaan menjadi sekolah pilihan utama masyarakat Malaysia. Matlamat dasar ini adalah untuk meningkatkan dan memperkukuh perpaduan di kalangan pelajar pelbagai kaum. Justeru, pelajar-pelajar dapat dilatih hidup saling bekerjasama dan mempunyai semangat patriotisme serta toleransi yang tinggi selaras dengan aspirasi nasional.

Strategi pelaksanaan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan: Memperkasakan Sekolah Kebangsaan antaranya ialah :
  1. Meluaskan program pra-sekolah;
  2. Memantapkan kepimpinan guru besar dan kualiti guru;
  3. Mengukuhkan budaya sekolah;
  4. Memantapkan kurikulum, program ko-kurikulum dan sukan;
  5. Menambahbaikan sistem sokongan;
  6. Meningkatkan prestasi akademik; dan
Menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang mencukupi dan berkualiti.

Berdasarkan kandungan Bab 6 : Teras 3 – Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dalam (muka surat 80) Perkara 6.17 menyatakan bahawa, pada tahun 2005, 4.4 peratus murid sekolah rendah dan 0.8 peratus pelajar sekolah menengah masih belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Peratusan ini termasuk juga pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran. Mulai tahun 2006, KPM telah memperkenalkan Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis bagi memastikan murid-murid Tahun 1 dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis selepas enam bulan mengikuti persekolahan. Murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran akan mengikuti kelas pemulihan.
Cabaran KPM adalah untuk mengurangkan masalah tidak menguasai 3M dan memastikan semua kanak-kanak 5+ tahun terutama kanak-kanak yang tinggal di luar bandar dan pedalaman, kanak-kanak berkeperluan khas, anak Orang Asli dan suku minoriti di Sabah dan Sarawak mengikuti prasekolah sebagai persediaan untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah.KPM juga akan terus memperluas Program Pemulihan dengan menaik taraf 2,800 kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan yang secukupnya, sejajar dengan Keputusan Kabinet tahun 2005 untuk memantapkan lagi program tersebut.


1.3 Latar Belakang / Sejarah Pendidikan Pemulihan di Malaysia

1967 - Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Program Pemulihan dengan    menggunakan strategi “ Withdrawal System.....”

1975 -Pusat Perkembangan Kurikulum menjalankan projek “Pendidikan Imbuhan”  bagi Tahap 1 ( Tahun 1 hingga Tahun 3) dengan menggunakan strategi di    mana pemulihan dijalankan oleh guru kelas / guru mata pelajaran.

1994 -  Program Khidmat Guru Pendamping bagi meningkatkan aktiviti pengayaan dan pemulihan dalam kelas KBSR.

1999 - Program jangka pendek (INTERVENSI 3M) diperkenalkan khas untuk murid tahun 4 di sekolah rendah dan Tingkatan 1/peralihan. Instrumen IPCH digunakan bagi menilai pencapaian kemahiran asas 3M. Program bermula 1999 hingga 2002.

2000 -Program IPP3M dilancarkan iaitu program jangka panjang bagi mengatasi penguasaan kemahiran asas 3M bagi murid tahap 1 di sekolah rendah ( Tahun 1 hingga Tahun 3 ). Program IPP3M dilancarkan bersama satu pendekatan P&P secara Pelbagai Kecerdasan ( Multiple Intelligences ).

2006 - IPP2M ( Instrumen Penentu Penguasaan 2M ) yang menekankan kepada  Bahasa Melayu – membaca dan menulis dibina.


2007 - Ujian Pelepasan 2 KIA 2M telah digunakan untuk pelepasan murid pemulihan tahun 3, 4, 5 dan 6.

1.4 Punca dan Bidang Kuasa

Surat Siaran Kementerian Pelajaran .
(yang masih digunapakai – Rujuk Lampiran) 

1: Surat Siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil. KP(BS)8594/Jld.11/(32)bth. 22.Jan. 1985. (Guru Khas Pendidikan Pemulihan

2: Surat Siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/5/PK/Jld.V(26) bth.28.Jan.1986. (Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)

3: Surat Siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM. Bil.KP(BS)8502/PK/Jld. V(29) bth.17.Mac.1986  (Pengawasan dan Penyeliaan Program pemulihan)

4: Surat Siaran Bahagian Sekolah-sekolah KPM.Bil.KP(BS)8502/5/PK/Jld.V (34) bth.30.Jun.1989. (Guru Khas Pemulihan Dan Penubuhan Kelas Khas Pemulihan Di Sekolah Rendah)


2.0 KONSEP PENDIDIKAN PEMULIHAN

Program Pemulihan Khas ialah satu usaha mengatasi masalah murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

Pendidikan pemulihan adalah sebagai satu cabang daripada sebahagian pendidikan imbuhan.Ianya juga disebut sebagai ‘Remedial education’ di dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk pendidikan khas kepada kanak-kanak atau pelajar yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran dalam mata-mata pelajaran tertentu sahaja.Pendidikan Pemulihan berbeza daripada pendidikan atau pengajaran biasa.

Guru yang mengajar kelas pemulihan adalah guru yang terlatih khas untuk kelas pemulihan. Kelas pemulihan selalunya lebih kecil daripada kelas biasa. Aktiviti yang dijalankan juga khas iaitu menepati kehendak ‘ menjadikan pulih ‘.
Pendidikan Pemulihan adalah satu bentuk pendidikan untuk membetulkan sesuatu yang kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang cacat.




2.1 Definisi Pendidikan Pemulihan

Berbagai-bagai pendapat telah diberikan oleh ahli-ahli pendidik Barat dan tempatan mengenai takrifan pendidikan pemulihan. Secara lebih khusus, takrif pendidikan pemulihan itu telah diberi dengan pelbagai definisi, antaranya ialah :

i) Sharifah Alwiah Alsagoff, 1983 : 371
 ‘ satu tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan pendidikan murid yang mengalami kesusahan dari segi pembelajaran dalam darjah khas di sekolah biasa, di pusat khusus yang dihadiri oleh murid secara sambilan, dalam kumpulan yang diasingkan daripada sekolah biasa, dan dalam darjah untuk pengajaran khusus oleh guru pemulihan.’


ii) Ishak Harun & Koh Boh Boon, 1983 : 191
Perkhidmatan khas untuk memenuhi keperluan-keperluan kanak-kanak yang menghadapi masalah-masalah pembelajaran di sekolah-sekolah biasa’ .


iii) Pringle (1966)
pengajaran yang mempunyai pendekatan khas yang diperlukan oleh semua murid yang mundur dalam satu-satu mata pelajaran serta berkemahuan dan berkebolehan belajar,melalui latihan yang sistematik dan dapat memenuhi keperluan-keperluan mereka.


iv) Albertwhite (1977)
pengajaran pemulihan ialah suatu bentuk pengajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak yang bersifat ketidakupayaan yang disertai oleh gangguan-gangguan emosi ’.


v) Tansley (1967)
pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan langkah-langkah yang benar-benar teliti dan sistematis bagi membolehkan pengajaran pemulihan dijalankan secara tersusun.


vi) Collins (1961)
pengajaran pemulihan ialah satu bentuk pengajaran yang mengutamakan mata pelajaran asas. Malah beliau menegaskan pengajaran ini ialah satu kaedah pengajaran yang istimewa bagi murid-murid yang gagal dalam mata pelajaran asas di sekolah seperti membaca,menulis dan mengira.


vii) Evans (1995)
pengajaran pemulihan dianggap sebagai “ the ambulance of educational system “. Dengan sebab itu pengajaran pemulihan ini tidak boleh diambil kira sebagai satu pekerjaan atau pengajaran yang dilakukan secara mengejut, mendadak atau digunakan pada waktu kecemasan sahaja. Pengajarannya perlu dirancang dan disusun dengan rapi berdasarkan aspek –aspek kelemahan murid.


viii) Blair (1956)
pengajaran pemulihan adalah satu bentuk pengajaran yang bertujuan untuk membaharui teknik pengajaran dan pembelajaran untuk mengikis segala kebiasaan-kebiasaan dan amalan-amalan yang tidak sesuai bagi murid-murid lambat’.


ix) Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan dalam pekeliling KP (BS) 8502/5/PK/Jld. V (26) bertarikh 8 Januari 1986.
pengajaran pemulihan sebagai satu usaha dalam pendidikan untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid lemah di sekolah-sekolah rendah, khususnya ditumpukan kepada kemahiran asas membaca, menulis dan mengira, di bawah kelolaan guru-guru pemulihan yang telah menerima latihan khas dalam bidang ini’.


x) Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (1984)
dalam konteks KBSR Program Pemulihan merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan untuk membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Mereka ini hendaklah dipulihkan sebaik sahaja masalah tersebut dapat dikesan dan ditentukan’.


xi) Koh (1979)
pengajaran pemulihan sebagai pengajaran yang bertujuan untuk memulihkan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada murid lambat dengan tujuan untuk meningkatkan taraf pencapaian mereka agar setaraf dengan pencapaian murid-murid normal ‘.


xii) Chua (1977)
pendidikan pemulihan sebagai satu pengajaran yang bertujuan untuk membantu murid yang lemah, melalui pendekatan perseorangan dalam kelas yang kecil bilangan muridnya. Pengajaran ini menggunakan kurikulum yang diubahsuaikan dengan menitikberatkan perkara yang praktis dan latih tubi, tunjuk cara yang melibatkan kegiatan dan gerak kerja yang dimudahkan serta disampaikan dengan teratur serta dikendalikan oleh kakitangan ikhtisas (profesional)yang terdiri daripada Guru Pemulihan dengan kerjasama doktor, pekerja sosial, pakar jiwa dan pihak-pihak lain yang berkaitan.



Kesimpulan Definisi

Secara kesimpulannya, pengajaran pemulihan adalah sejenis pengajaran yang dijalankan untuk membantu murid-murid lambat dalam pembelajaran di sekolah agar mereka tidak terus ketinggalan dalam proses pendidikan di sekolah dan dapat seiring dan setaraf dengan rakan mereka yang lain.




2.2 Tujuan Pengajaran Pemulihan 

Berdasarkan Buku Panduan Program Pemulihan Kurikulum Baru Sekolah untuk Tahap Satu Kementerian Pendidikan Malaysia (1984), tujuan utama pengajaran pemulihan ialah untuk:
  1. Membantu mengatasi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu.
  2. Membantu murid mengubah sikap yang negatif dan tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran.
  3. Memupuk serta mengembangkan sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran. 


    Menurut Koh (1986), menegaskan pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi kesusahan pembelajaran bagi kanak-kanak yang mengalami kesusahan ini tanpa menghiraukan label-label ke atas murid tersebut seperti bodoh, lambat dan sebagainya. 


    Menurut Blair (1968), pengajaran pemulihan diperlukan untuk fungsi-fungsi berikut:
    1. Untuk menyingkirkan tabiat dan sikap yang tidak selari dengan pembelajaran berkesan atau dengan kata lain memulihkan kesalahan atau kelemahan.
    2. Untuk mengajar buat pertama kali tabiat, kemahiran dan sikap baik yang belum dipelajari, tetapi seharusnya sudah dipelajari.Tabiat, kemahiran dan sikap baik diperlukan oleh murid untuk meningkatkan kecekapan murid.

Maka, pengajaran pemulihan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan iaitu mengikis tabiat tidak baik yang sedia ada dan kedua ialah untuk membentuk tabiat baik yang belum ada pada murid itu.


Dengan ini, pendidikan diperlukan untuk mengatasi dua jenis kelemahan ini.Bagi keperluan guru, untuk mengatasi kedua-dua jenis kelemahan ini, prinsip-prinsip pengajaran yang harus digunakan ialah yang berasaskan psikologi, di samping terdapatnya berbagai-bagai cara bekerja, teknik dan alat pelaksanaannya.


2.3 Tujuan-tujuan pendidikan pemulihan adalah:

  1. Mengenal pasti pelajar yang memerlukan pemulihan.
  2. Untuk mewujudkan alat-alat diagnostik supaya dapat mengesan kesulitan-kesulitan pembelajaran tertentu.
  3. Mengeluarkan bahan-bahan kurikulum dan kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai untuk memenuhi keperluan setiap kanak-kanak.
  4. Mencegah sesuatu kurang upaya supaya tidak menjadi satu kecacatan.
  5. Merapatkan hubungan antara guru biasa dan guru khas supaya layanan yang diberi oleh guru khas dapat diteguhkan oleh guru biasa.
  6. Membentuk komunikasi yang berkesan dengan pakar-pakar dan agensi-agensi untuk perkembangan optimum setiap kanak-kanak. 


    Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (1985) pengajaran pemulihan adalah khusus untuk membantu sebilangan pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran di sekolah rendah, terutamanya dalam masalah bahasa.


3.0 MURID PENDIDIKAN PEMULIHAN

3.1 Definisi Murid Pendidikan Pemulihan

Terdapat berbagai-bagai definisi untuk mentakrifkan siapa dia murid pendidikan pemulihan. Para pendidik menganggap kanak-kanak pemulihan sama dengan kanak-kanak lembam ataupun ‘slow learner’ yang mempunyai pencapaian lebih rendah daripada rakan sebaya mereka di kelas.
Kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran sama ada dalam membaca, menulis atau mengira. Mereka menunjukkan simptom atau gejala kesulitan untuk membaca, menulis atau mengira. Selain sering melakukan kesalahan dalam kerja sekolah dan memperoleh keputusan ujian dan peperiksaan yang kurang memuaskan, murid-murid ini juga memperlihatkan ciri-ciri seperti kurang yakin, rendah konsep diri, pasif terhadap kegiatan pembelajaran dan mudah putus asa.

3.1.1 Menurut laporan yang bertajuk “Asia and Pasific Programme of education Innovation for development” (1987) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, sasaran pengajaran pemulihan ialah :
Those that are categorised as having learning problems generally display a disability in areas such as reading, spoken or written language, mathematics and in skills related to perceptual processes in learning. Due to their shortcomings in one or more of the areas, some children find learning a difficult task.


3.1.2 Menurut Brennan (1974), murid pendidikan pemulihan adalah murid yang gagal menghadapi kerja normal sekolah untuk kumpulan sebaya mereka,tetapi mereka tidak boleh dianggap sebagai kanak-kanak cacat.

3.1.3 Menurut Sharifah (1986), murid pendidikan pemulihan ialah murid-murid yang gagal untuk sejajar dengan rakan-rakan sebaya dalam kelasnya. Kegagalan ini dinilai dari segi akademik yang dipercayai disebabkan kurang keupayaan untuk berjaya dalam mata pelajaran asas iaitu membaca, mengira dan menulis. Mereka tidak termasuk kanak-kanak yang dikategorikan sebagai terencat akal.

3.1.4 Manakala Pusat Perkembangan Kurikulum (1984) berpendapat murid pemulihan ialah mereka yang menghadapi masalah pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, bersifat negatif terhadap pembelajaran dan mempunyai tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran serta kurang sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran.

3.1.5 Koh (1984), mentakrifkan murid pendidikan pemulihan sebagai murid lambat dan diberi label seperti kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak khas, kanak-kanak mundur, yang memiliki masalah pembelajaran dan men derita kegagalan dalam pendidikan. Murid-murid ini memperlihatkan taraf pencapaian yang tidak memuaskan dibandingkan dengan taraf pencapaian purata rakan-rakan sebaya atau tidak pada taraf yang diharapkan bagi murid-murid di peringkat persekolahan itu.

3.1.6 Johnson (1963), mendefinisikan kumpulan murid lambat sebagai murid yang tidak menunjukkan kesuburan bakat akademik seperti kanak-kanak lain yang sedarjah dengannya.


3.1.7 AE Tanseley dan R.Culliford, mentakrifkan kanak-kanak pemulihan adalah kanak-kanak yang mempunyai intelek dan kecerdasan yang rendah juga kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa. 

3.1.8 M.F. Clough mendefinisikan kanak-kanak pemulihan ialah kanak-kanak yang kurang daya taakul, kurang berkemampuan membuat sesuatu keputusan atau kesimpulan dan kurang memahami tentang perkara yang agak abstrak. 



Dengan segala jenis takrifan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa murid pendidikan pemulihan ialah mereka yang lambat pembelajarannya yang mempunyai kecerdasan di bawah sederhana atau rencatan yang ringan dan termasuk mereka yang menghadapi kesulitan-kesulitan am atau tertentu dalam usaha penyesuaian kepada kurikulum sekolah biasa.



3.2 Ciri-Ciri Murid Pendidikan Pemulihan  

Murid-murid pendidikan pemulihan juga mempunyai bermacam ciri yang membezakannya dengan murid-murid yang tahap pembelajarannya adalah normal di dalam kelas. 

Ciri-ciri kanak-kanak pemulihan juga boleh dikelaskan kepada 5 kategori, iaitu emosi dan tingkahlaku, sosial, kesihatan, kesediaan belajar dan pengamatan.  

a) Dari segi Emosi dan Tingkahlaku

i. Perasaan rendah diri
ii. Perasaan risau
iii. Perasaan sedih, hiba atau duka
iv. Perasaan cepat bosan atau jemu terhadap pelajaran
v. Perasaan takut akan perkara-perkara baru
vi. Degil, tidak patuh pada peraturan-peraturan dan suka melawan.
vii. Pasif

viii. Malas  

b) Sosial 

i. Gelisah dan selalu bergerak di dalam kelas serta mengganggu kawan-kawan.ii. Lemah / kurang interaksi dengan rakan
iii. Gemar menghisap atau menggigit kuku
iv. Selalu tidak hadir ke sekolah dengan berbagai-bagai alasan
v. Menangis – enggan masuk darjah
vi. Hyper aktif

c) Kesihatan

i. Lemah tubuh badan serta kurang zat makanan.
ii. Tumbesaran tubuh badan tidak seimbang (gemuk/kurus)
iii. Tumpuan perhatian terhad (masalah penglihatan)
iv. Lemah gerakan motor-kasar dan halus
v. Kesihatan terganggu seperti selalu sakit, sakit terlalu lama dan teruk.
vi. Kurang menjaga kebersihan diri.

d) Kesediaan Belajar

i. Belum bersedia untuk belajar
ii. Perbendaharaan kata kurang
iii. Lemah pemahaman
iv. Kurang keyakinan diri dan rangsangan
v. Kurang matang – IQ tidak seimbang dengan umur hayat.

e) Pengamatan  

i. Tidak kenal perbezaan bentuk, saiz, warna dan turutan.
ii. Lemah pendengaran bunyi dan rentak
iii. Keliru terhadap konsep ruang dan mencari arah.
iv. Lambat mengkelaskan benda.
v. Kesukaran mengaitkan pelajaran yang lama dengan yang baru.
vi. Tidak dapat menyelesaikan masalah.
vii. Sukar ambil bahagian dalam permainan dan tidak faham undang-undang.
viii. Tidak kreatif
ix. Lemah pergerakan dan perbuatan
x. Lemah daya pemikiran / ingatan
xi. Tidak boleh mengingat kembali


Beberapa tokoh ilmuan juga telah menggariskan ciri-ciri murid pendidikan pemulihan mengikut sudut pandangan mereka seperti di bawah :


3.2.1 Schonell (1965), mencirikan kanak-kanak lambat sebagai kanak-kanak yang kurang keupayaan dan lemah berbanding dengan kanak-kanak lain.

3.2.2 Tansley dan Gulliford (1960), telah membahagikan ciri kanak-kanak lambat kepada tiga kumpulan iaitu :
  1. Kanak-kanak yang lemah dari segi perkembangan mental ditambah kecacatan-kecacatan lain seperti gangguan kesihatan, terhad pengalaman berbahasa dan mengalami gangguan emosi.
  2. Kanak-kanak ini selalunya ponteng sekolah dan biasanya berasal daripada latar belakang keluarga susah. 
  3. Kanak-kanak ini biasanya mengalami kesukaran khusus dalam bacaan dan penulisan mengakibatkan mereka mengalami pencapaian yang rendah dalam hampir kesemua mata pelajaran. 
         3.2.3 Haigh (1977), mencirikan kanak-kanak pendidikan pemulihan seperti berikut :
    1. Kanak-kanak ini rendah pencapaian dalam kemahiran asas dan mengalami ketidakupayaan dari segi bahasa menyebabkan kesukaran dalam pembelajaran.
    2. Mempunyai keupayaan berbahasa dan daya kefahaman yang terhad sehingga mereka tidak bersedia memikirkan konsep-konsep yang abstrak.
    3. Mempunyai minat yang terhad terhadap pelajaran dan bersikap dingin terhadap kejayaan dalam pelajaran. Kegagalan dalam pelajaran yang selalu dialaminya menimbulkan sikap benci terhadap sekolah.
    4. Murid ini biasanya memiliki perlakuan yang sukar dikawal. Perlakuan ini amat berbeza dari rakan-rakan yang lain. Pada kebiasaannya pakaian kanak-kanak ini juga tidak kemas dibandingkan dengan murid lain.
    5. Murid ini selalunya cuba menarik perhatian guru, kerana mereka kurang menumpukan perhatian kepada pelajaran, tidak berminat, kadangkala berkelakuan liar untuk menutup kelemahan mereka.
    6. Ada kalanya murid jenis ini tidak pandai menulis tetapi boleh bertutur dengan baik. Oleh sebab minat mereka terhad dan cepat luput, maka mereka selalu mengganggu murid yang pandai. 


      3.2.4 Abdul Halim (1980), mentakrifkan ciri-ciri murid pendidikan pemulihan adalah seperti berikut : 

      i) Kanak-kanak yang menunjukkan kebolehan menulis dan membaca atau mengira sekurang-kurangnya dua tahun dibawah usianya. 
      ii) Kanak-kanak ini lemah daya perhatian ke atas sesuatu kerja. 
      iii) Kanak-kanak ini sukar menghabiskan kerja yang diberikan kepadanya.
      iv) Kanak-kanak ini juga sukar mengenali simbol-simbol yang diajar kepadanya, serta kurang daya untuk memahami dan menceritakan apa yang dibacanya, walaupun mereka boleh membaca dengan baik. 
      v) Kanak-kanak ini juga kurang kebolehan untuk mengingat maklumat yang diajar kepadanya serta sukar memahami apa-apa yang mereka sendiri cakapkan walaupun mereka tidak mengalami masalah pendengaran. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak boleh menyampaikan perasaan atau kehendak mereka kepada orang lain. 
      vi) Mereka juga tidak pandai bergaul dengan rakan sebaya mereka atas beberapa sebab. Antaranya selalu berkelakuan menyinggung perasaan orang lain, menggunakan perkataan yang tidak menarik perhatian kanak-kanak lain kepada mereka. Ini menyebabkan mereka tidak boleh menyesuaikan diri di kalangan kanak-kanak lain. 
      vii) Ada juga kanak-kanak ini yang kekok pergerakan tangan lalu menimbulkan masalah pembelajaran di sekolah. Ini kerana setiap kali guru menyuruh menyalin sesuatu, mereka tidak dapat menghabiskan kerja mereka dalam masa yang ditetapkan. Daya pemikiran mereka mungkin sederhana atau lebih baik dari kanak-kanak lain tetapi masalah kekok pergerakan tangan menyebabkan mereka gagal dalam ujian-ujian yang memerlukan banyak menulis. Ada juga kanak-kanak ini yang merasa tersinggung dengan masalah fizikal mereka kerana mereka selalu menjadi bahan ejekan kawan-kawan lain terutamanya dalam latihan jasmani, di mana kekekokan mereka lebih ketara. Ini melemahkan keyakinan diri mereka bukan sahaja dari segi jasmani tetapi juga dalam pembelajaran mereka. 










No comments:

Post a Comment